Keinginan saya untuk mengerjakan umrah mula terdetik apabila anak perempuan saya beriya-iya hendak mengikut neneknya mengerjakan umrah pada tahun lepas (2016). Yang si bongsu pun sama, siap suruh saya belikan tudung sebab nak kerjakan umrah katanya. Keterujaan memuncak bila hantar keluarga ke lapangan terbang, melihat jemaah yang ceria tersenyum gembira, terus terdetik, ‘dah tak boleh tunggu dah’.
Keesokan harinya, kami terus mendaftar dan mula menyediakan apa-apa yang diperlukan. Untuk info, kami suami isteri tidak pernah menaiki kapal terbang. Kami juga pernah berazam, penerbangan pertama kami ialah ke tanah suci. Nak pergi bulan Januari 2017 sudah penuh, jadi kami pilih awal bulan Febuari 2017. Kami mendaftar dengan agensi Andalusia pada bulan November 2016.
Kami hadir kursus umrah. Masa tu menitis air mata bila ustaz yang ceramah cakap, ‘Berapa ramai yang ada duit, tapi tak pergi umrah, tuan puan ni insan terpilih, yang dah sampai seru’. Ya Allah syukurnya, Kau jemput kami mengadap-Mu.
Untuk persiapan pakaian, banyak yang kami buat pada saat-saat terakhir. Kami beli di cawangan Andalusia, Fitrah Al Haj, Cataly, Siti Khadijah dan Sri Munawwarah. Kalau anda dah buntu, tak tahu di mana hendak mencari kelengkapan umrah, bolehlah beli di tempat-tempat ini. Tapi sekarang ini, makin banyak kedai menjual barangan persiapan nak menunaikan umrah.
Jemaah kami dikhabarkan akan ke Mekah dulu. Kebiasaannya ramai yang dapat ke Madinah dulu. Rezeki kami la tu. Jadi kena niat awallah nanti. Dalam kapal terbang, mereka akan maklumkan apabila sampai di tempat Miqat. Untuk orang lelaki, dah kena pakai pakaian ihram siap-siap sebelum sampai ke Mekah dan sebaik berniat, dah kena jaga pantang larang.
Penerbangan dari Kuala Lumpur, singgah di Jeddah dan kemudiannya ke Mekah. Sampai di Mekah, kami dapat hotel yang jaraknya 700m+ ke Masjidil Haram. Suasana agak sibuk dan orang sentiasa ramai. Kedai-kedai berderet. Teksi dan bas banyak. Suasana sedikit bingit. Kelihatan agak kasar sedikit orang di sana, tapi taklah semua.
Kota Mekah meriah dan kebanyakan yang berniaga di sana bukannya orang yang berasal dari sana, tetapi dari pelbagai negara. Walaupun suasana sebegitu, tetapi ketenangannya, Masya Allah. Luarbiasa rasanya ketenangan yang dapat kat sana. Saya pula memang dah tinggalkan smartphone saya untuk diuruskan oleh staf kerana ingin fokus pada ibadah kat sana. Apa lagi, ketenangan berganda saya rasakan.
Sampai sana, apabila makan sahaja makanan yang pertama, saya terus cakap sedap. Alhamdulillah, selepas itu, saya rasa memang sedap makanan sana. Mulut kena jaga, jangan banyak komplen dan merungut. Sebab di Tanah Suci ini tidak boleh bercakap yang bukan-bukan dan kena jaga tingkah laku.
Bilik hotel biasa-biasa sahaja, tapi saya rasa seronok sangat. Saya sukakan segalanya yang ada di sana. Pernah tak selepas solat atau semasa berdoa, rasa tenang sangat? Dalam beberapa minit sahaja? Haa, kat sana saya rasa setiap masa, saat macam itu. Asal ingat je, saya berdoa. Saya tidak lepaskan peluang. Solat pun rasa khusyuk dan tenang sangat.
Sebelum pergi, ramai yang risau keadaan kami yang membawa anak-anak yang ramai. Tapi disebabkan kami dah biasa membawa anak-anak berjalan ke sana sini, kami yakin boleh diuruskan. Kami minta yang baik-baik saja pada Allah SWT dan Alhamdulillah segalanya dipermudahkan. Disebabkan anak-anak dah berniat, maka kami perlu sempurnakan umrah mereka kecuali si bongsu tu tidak berniat.
Saya pula memang uzur sejak sebelum pergi lagi, jadi saya hanya berdoa agar cepat-cepat saya boleh mengerjakan umrah. Alhamdulillah, doa saya dimakbulkan. Pada hari ketiga, saya dapat melihat Kaabah dan mengerjakan umrah yang pertama. Sayu sangat rasa dapat tengok Kaabah secara langsung di depan mata. Rasa dekat sangat dengan Allah SWT. Peluang berdoa tidak dilepaskan.
Selama beberapa hari di sana, saya sempat melaksanakan 3 kali umrah dan tawaf sunat. Saya bertuah kerana dapat berdoa di tempat-tempat yang mustajab doa seperti di Hijr Ismail, di bawah Multazam, di makam Nabi Ibrahim dan tak lupa di kaki Bukit Safa dan Marwah. Saya juga mengambil peluang mendoakan untuk kawan-kawan yang mengirim doa.
Selebihnya kami ambil peluang menyelami kehidupan di Mekah. Kota ini walaupun hiruk pikuk, tetapi tenang. Kita akan berjumpa dengan manusia yang ramai, yang niatnya sama macam kita. Masya Allah, macam-macam keadaan yang kita jumpa dan pasti terharu kerana dalam kesusahan, mereka tetap berebut untuk melaksanakan amal ibadah di sana.
Di Mekah, setiap kali masuk waktu solat, semua kedai akan ditutup. Semuanya akan mengerjakan solat. Selepas solat, tiada doa panjang-panjang seperti di Malaysia. Setiap kali selepas solat fardhu, pasti akan ada solat jenazah.
Jubah, sejadah dan barangan pakaian yang lain memang sangat murah dan cantik-cantik.
Ada ramai yang jual aiskrim, mak aih sedap sangat aiskrim kat sana. Kalau tak silap, mereka menggunakan susu unta atau susu kambing. Sedap sampai boleh ketagih. Nasi pula tidak berkuah, dengan lauk sahaja. Bagus untuk kesihatan. Tidak ada kedai makan bermeja kerusi. Kedai menjual makanan banyak, tetapi semuanya jenis ‘take away‘. Pandai-pandai la makan di mana-mana. Kami biasanya makan di bilik.
Semasa di Mekah, kami juga mengambil peluang pergi ke Gua Hira, Muzium Hudaibiah dan Taif. Taif ni sejuk macam di Cameron Highlands. Di sini ada kilang rose yang terkenal. Bila tengok macam mana dia proses rose tu, memang susah. Patutlah minyak wangi rose tu harganya RM1000 sebotol yang bersaiz kecil. Minum dengan teh pun sedap apabila dicampur sedikit air rose tu. Kami beli dua botol untuk dibawa balik, termasuk krim rose.
Di Taif, kami ditunjukkan tempat-tempat bersejarah yang berkaitan dengan Nabi. Rasa dekat sangat dan sedih mengenangkan kisah Nabi dibaling batu oleh penduduk Taif termasuk kanak-kanak sehingga basah kasut Baginda dengan darah. Kami dapat tengok tempat tersebut dan juga masjid yang disinggah Nabi.
Malamnya, apabila hendak ke Gua Hira’, anak-anak tidur pula, jadi terpaksalah saya menjaga mereka. Hanya suami dan anak sulung yang pergi. Saya cuma dengar cerita mereka dapat masuk tempat Baginda terima wahyu yang pertama.
Saya rasa sangat berpuas hati dapat memberi pengalaman seperti ini kepada anak-anak, dengan harapan mereka akan ingat sampai bila-bila dan terkesan dengan contoh kepimpinan dan tauladan dari Nabi Muhammad SAW.
Selepas 7 hari di Mekah, maka tibalah masa berangkat ke Madinah. 5 jam perjalanan barulah sampai. Sepanjang perjalanan, memang kelihatan padang pasir, bukit, kawasan tandus, dan banyak kedai dan rumah yang ditinggalkan. Tidak pasti kenapa. Ada penempatan di celah-celah bukit-bukit di sana. Saya termenung memikirkan kesusahan di sana, terutamanya bekalan air dan kurangnya aktiviti untuk menjana ekonomi.
Berbanding dengan Mekah yang agak hiruk pikuk, Madinah pula sebaliknya. Di sini pun, apabila masuk waktu, mereka akan tutup kedai untuk solat dan buka semula lepas tu.
Di Madinah, tidak dibenarkan bangunan melebihi 20 tingkat. Jadi pemandangan di sini lebih kemas dan bangunan pun lebih teratur. Orang di sini lebih lemah lembut. Inilah kota hasil tarbiyah Rasulullah SAW. Mutawwif kata, banyakkan membeli di Madinah untuk membantu ekonomi mereka. Tidak dinafikan, jubah kat sini lebih cantik-cantik. Saya yang tidak membeli apa-apa untuk diri sendiri di Mekah, terdetik hendak membeli sehelai dua jubah di sini.
Kami berpeluang pergi ke Masjid Quba. Solat di sini, pahalanya seperti kita mengerjakan umrah. Jadi jangan lepaskan peluang untuk solat dan berdoa kat sini.
Di Masjid Nabawi, saya tidak melepaskan peluang berdoa kat Raudhah. Dapatlah pergi dua kali. Raudhah tu adalah kawasan makam Rasulullah SAW. Untuk jemaah perempuan, perhatikan karpet hijau. Kalau merah, bukan lagi kawasan Raudhah. Masuk perlu mengikut giliran dan jemaah dikumpulkan berdasarkan negara. Di Masjid Nabawi, keadaan lebih berdisplin dan terkawal.
Kami juga berkesempatan ke Bukit Uhud. Di sini meriah, ada pasar, dan tentunya tempat bersejarah perang, termasuklah makam 70 orang yang syahid. Tanah perkuburan ini berbau wangi, tidak ketahui mana punca baunya.
Kami juga dibawa ke beberapa masjid lain seperti di Qarnul Manazil, Tanaim dan selebihnya tengok daripada jauh. Setiap masjid itu ada ketenangannya yang tersendiri dan saya tidak melepaskan peluang untuk berdoa.
Kegembiraan mengerjakan umrah bersama anak-anak sukar digambarkan. Kami ingin memberikan mereka memori yang akan tersemat jauh di sanubari mereka kerana kami percaya, zaman kanak-kanak adalah zaman yang akan diingati sampai bila-bila. Kami ingin mereka hidup berlandaskan al-Quran dan Sunnah. Sebab itu, walaupun susah, kami bawa mereka agar mereka dapat merasa dekatnya dengan Rasulullah SAW dan Allah SWT.
Semoga perkongsian tidak seberapa ni, akan membuka hati anda yang belum pernah pergi ke Tanah Suci untuk ke sana. Apa yang saya tulis ini belum dapat memberikan gambaran sepenuhnya suasana di sana. Pergilah dan rasai sendiri. 🙂
Alhamdulillah..seronok kan dapat pergi umrah. Pernah juga dapat masuk ke gua hira’ dan gua thur yang nabi bersembunyi tu..kecil sangat lubang dia nak katanya nabi kurus sangat. Ambil hikmah banyak bila buat umrah ni..ada rezeki memang tiap tahun nak pergi 🙂