Dari Abu Said al-Khudri RH katanya:
Nabi Muhammad SAW bersabda:
Kamu semua akan mengikut jejak langkah umat-umat sebelum kamu sejengkal demi sejengkal sehasta demi sehasta sehingga kalau mereka masuk ke lubang biawak sekali kamu tetap akan mengikut mereka. Kami bertanya adakah mereka itu Yahudi dan Nasrani? Sabda Nabi SAW: Siapa lagi kalau bukan mereka?
(Riwayat Muslim no: 2669)
Huraian hadis
Hadis ini meramalkan apa yang akan berlaku kepada umat Islam di akhir zaman. Mereka akan mengikut jejak langkah Yahudi dan Nasrani sedikit demi sedikit sehingga ke lubang biawak pun mereka akan mengikut kedua-dua golongan ini.
Menurut Imam Nawawi (شبرا وذراعا) dan (حجر ضب) merupakan tamsil atau perumpamaan (analogy) menunjukkan permuafakatan yang amat rapat dengan idea-idea, cara-cara atau pemikiran mereka [Syarh Sahih Muslim li Al-Nawawi (166/16)].
Ertinya mereka bersetuju dengan maksiat dan perselisihan tetapi bukan bersetuju dengan kekufuran Yahudi dan Nasrani.
Menurut Imam Nawawi lagi hadis merupakan mukjizat Nabi SAW kerana apa yang dikhabarkan oleh Baginda SAW semuanya menjadi kenyataan sekarang.