Panas isu khatam al-Quran ni.
Aku nak cerita sikitlah sebab isu ni kebetulan sangat dekat dengan aku.
Selepas arwah mak aku meninggal tahun lepas, aku mengalami trauma yang agak dahsyat juga.
Benda ni aku tak cerita di sini tapi siapa yang ikut TikTok aku mungkin tahu sedikit sebab aku buat jurnal dalam bentuk video untuk luahkan perasaan dan ada cerita di sana.
Tiga bulan aku langsung tak boleh memasak sebab teringat bila ke dapur, aku banyak guna resepi arwah.
Tak boleh balik kampung dan bermalam sebab rasa macam arwah ada sahaja.
Jadi aku hanya duduk di kampung selama sebulan lebih sebab nak pergi kubur setiap pagi dan petang.
Benda lain pun aku tak buat sangat. Tapi aku cuba lawan juga walaupun payah.
Selepas dua ke tiga minggu arwah mak meninggal, baru aku terfikir kenapa tidak aku baca al-Quran dan khatamkan sebagai hadiah untuk arwah di sana.
Al-Quranlah terapi terbaik dan amalan-amalan lain yang makin mendekatkan kita dengan Sang Pencipta.
Itulah cara utama aku merawat trauma selain buat benda-benda lain.
Diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
“Apabila matinya seseorang anak Adam itu maka terputuslah amalannya kecuali tiga perkara iaitu sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan dan anak soleh yang sentiasa mendoakan kepada kedua ibu bapanya.”
(Hadis Riwayat Muslim)
Tentang sedekah dan semua itu pun aku buat juga atas nama arwah.
Khatam Quran tu kali pertama aku buat bersama suami sebab dia nak sertai sekali.
Syukur tak lama selepas itu, berjaya khatam.
Tiba-tiba rasa macam, kenapa tidak terus buat secara berterusan?
Aku pun buat kira-kira ikut kemampuan aku sebab aku dah tahu maksimum aku boleh baca berapa muka surat sehari.
Ini kemampuan aku (masing-masing kena tahu kemampuan sendiri):
-
20 muka surat sangat senang – boleh habis dalam masa sebulan.
-
40 muka surat – akan ada hari yang tidak konsisten sebab kalau ada urusan memang tidak sempat – jadi boleh habis dalam masa 15 hari.
-
Paling banyak aku boleh baca 60–80 muka surat sehari – jadi boleh khatam dalam kurang 10 hari.
Dan Alhamdulillah sejak mak meninggal tahun lepas aku dah khatam 3 kali dan sekarang nak masuk kali keempat Ramadan ini.
(Aku pilih Jumaat ini tamatkan bacaan waktu rutin ziarah ke kubur)
Jadi untuk tahun ini aku berkira-kira nak khatam sebulan sekali paling kurang – jadi setahun dapat 12 kali.
Tapi nanti rushing.
Aku tukar plan ke dua bulan sekali.
Sehinggalah akhirnya aku tukar ke setiap dua atau tiga bulan sekali.
Sebab aku nak setiap sesi ada sesi khas tadabbur juga.
Serius aku rasa tak puas juga sebenarnya walaupun dah khatam beberapa kali sebab aku asyik kejar khatam dan dah lama tak sempat tadabbur betul-betul.
Jadi aku plan tahun ini setiap kali khatam al-Quran, aku akan peruntukkan minimum satu bulan untuk tadabbur al-Quran betul-betul.
Dan aku kena ulang selalu – khatam + tadabbur.
Tadabbur mungkin ambil masa jadi aku tak nak terkejar-kejar.
Contohnya satu sesi itu fokus satu juzuk sahaja dahulu.
Maka ianya satu perjalanan yang panjang tapi insya-Allah bermanfaat.
Selain khatam Quran, aku ada beberapa surah yang aku amalkan sebagai rutin.
Macam biasa malam, surah al-Mulk sebelum tidur.
Kalau sempat, tambah surah al-Rahman dan as-Sajdah.
Begitulah juga pagi dan siang, ada surah khas juga untuk diamalkan setiap hari.
Ada juga yang mingguan seperti al-Kahfi secara penuh setiap pagi Jumaat dan hari lain hanya 10 ayat awal dan 10 ayat akhir.
Apa yang aku nak sampaikan ialah membaca al-Quran amalan yang mulia.
Baca walaupun tidak faham tetap dapat pahala.
Kalau baca dan tadabbur, lagi banyak pahala.
Kalau kita baca buku atau novel, mesti kita nak fahamkan jalan cerita tu supaya kita faham dan dapat mesej cerita tu kan?
Jadi rugilah kalau kita dah bertahun-tahun baca Quran tapi tiada usaha untuk tadabbur.
Sepatutnya tidak perlu terasa dengan penulisan tentang khatam Quran tu.
Sebab mesejnya jelas cuma mungkin penyampaiannya buat ramai yang terasa.
Sepatutnya bila terasa kita ambil yang positif tapi ramai yang fokus pada benda-benda lain dan cari keburukan sahaja.
Bulan-bulan yangh baik pun ajak orang mengecam dan mengumpat.
Saja jadikan isu.
Apa yang aku nak sampaikan:
Kejarlah nak khatam Quran berapa kali pun. Asalkan ada niat untuk tadabbur juga.
Sebab kita dah ada terlalu ramai pembaca dan penghafal al-Quran, tapi kita ketandusan orang yang benar-benar faham al-Quran.
Marilah bermula, jangan tunggu sempurna.
Jangan jadikan post aku pula sebagai bahan untuk mengumpat.
Kalau nak juga, silakan. Aku tak takut pun dengan penilaian manusia sebab Allah lebih tahu niat aku untuk berkongsi.
Ambil yang baik dan abaikan yang tidak.
Semoga Tahun ini kita berjaya mentarbiah diri kita menjadi Muslim yang lebih baik dari tahun-tahun yang sebelum ini.
Barulah Hari-hari kita semua lebih bermakna untuk dijalani kerana ada kejayaan di situ.
Sumber:
Pengalaman peribadi penulis asal di media sosial (#sharingbynfam #cacatankehidupan)





