Real Food Tidak Mahal, Jika Kita Tahu Caranya: Prinsip Makan Sihat & Adaptasi Gaya Hidup.
Orang kata, ukur baju di badan sendiri.
Sebenarnya, makan real food tidak mahal jika kita tahu caranya.
Memang saya sedikit cerewet bab pemakanan ini.
Di rumah, kami hanya masak ayam atau telur kampung, atau organik sahaja.
Daging pula hanya yang baru disembelih.
Sayur yang digunakan mestilah sayur organik.
Air pula, hanya air mineral, kerana saya memang tidak menggunakan air paip yang mengandungi fluoride.
Sebab itu saya juga tidak menggunakan penapis air ‘kayangan’ kerana ia masih tidak mampu menapis fluoride dengan berkesan.
Tetapi…
Ada tapinya.
Bila keluar rumah, susah untuk dapatkan semua pilihan tersebut.
Apabila travel, memang tidak dapat elak 100% daripada mengambil makanan yang tidak menepati prinsip asal.
Jadi, prinsip saya mudah sahaja:
Di rumah kita kawal, di luar kita belajar untuk adapt setakat mana yang boleh.
Kalau kedai itu menyediakan air mineral, saya akan pesan air mineral sahaja, atau saya bawa siap-siap dari rumah.
Tetapi kadang-kadang tekak ini terasa juga ingin minum air teh ‘O’ kosong, jadi saya titiskan stevia yang saya bawa ke mana-mana, dan saya pesan sahaja air tersebut.
Dari segi makanan pula, saya cuba elakkan ayam bila makan di luar.
Tetapi anak-anak saya masih boleh makan ayam bandar, jadi saya benarkan sahaja.
Daging pula, kalau jenis keras dan kejung seperti yang biasa di kedai masakan panas, memang saya tidak lalu makan.
Jadi, selalunya saya akan pilih makanan berasaskan telur atau sesekali ikan.
Begitulah. Hidup cara kita.
Saya sudah rancang: kalau tidak mampu untuk masak telur setiap hari pun tidak mengapa, boleh makan ikan.
Ikan pun banyak sahaja yang murah-murah.
Atau lebih baik lagi, pergi sahaja memancing di sungai.
Menjala pun boleh.
Sebab itu saya percaya, penting untuk kita tahu macam-macam kemahiran hidup untuk survive.
Jika ada tanah, bela sahaja ayam sendiri.
Tanam sayur sendiri.
Banyak lagi benda yang kita boleh lakukan, asalkan rajin dan kreatif..!





