Salam Maal Hijrah buat semua. Semoga kita sentiasa berhijrah untuk kehidupan yang lebih baik bukan sahaja di dunia tetapi di akhirat.
Hijrah Untuk Kesejahteraan
عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَمْرٍو رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ الْمُسْلِمُ مَنْ سَلِمَ الْمُسْلِمُونَ مِنْ لِسَانِهِ وَيَدِهِ وَالْمُهَاجِرُ مَنْ هَجَرَ مَا نَهَى اللَّهُ عَنْهُ
Daripada Abdullah bin Amru dari Nabi SAW, bersabda: “Seorang muslim adalah orang yang kaum Muslimin selamat dari lisan dan tangannya, dan seorang Muhajir adalah orang yang meninggalkan apa yang dilarang oleh Allah ” (HR Bukhari No: 9) Status: Hadis Sahih
Pengajaran:
1. Muslim yang sempurna adalah seorang yang sentiasa sejahtera kepada orang Islam lain (sentiasa selamat dari gangguan lisan dan tangannya seperti umpatan, fitnah, adu domba dan lain-lain).
2. Seseorang yang mempunyai iman yang sempurna akan mendorong pemiliknya untuk melaksanakan hak-hak iman. Di antara hak-hak iman adalah: Menjaga amanah, jujur dalam bermuamalah, dan menahan diri dari berbuat zalim terhadap sesama manusia dalam perkara darah dan harta mereka sehingga orang lain merasa aman (kerana merasa tidak terganggu) darah dan harta mereka.
3. Hijrah adalah perpindahan dari satu situasi atau keadaan kepada satu situasi atau keadaan yang lain. Seorang yang berhijrah adalah mereka yang berpindah dari perkara yang kurang baik kepada yang lebih baik. Berpindah dari perbuatan berdosa dan maksiat kepada yang baik dan mendatangkan pahala.
4. Hijrah dituntut ke atas setiap Muslim. Untuk berubah, setiap kita perlu melakukan hijrah.
5. Hijrah dan perubahan menuntut pengorbanan. Para sahabat berhijrah dari Mekah ke Madinah terpaksa meninggalkan segala yang dimiliki di Mekah dan menempuh perit getir perjalanan untuk ke Madinah sehingga mereka selamat sampai. Oleh itu untuk berhijrah dan berubah, setiap kita perlu berkorban.
Marilah kita melakukan perubahan dan berhijrah dari keadaan yang kurang baik kepada keadaan yang lebih cemerlang dan gemilang serta diredhai Allah. Bersama mewujudkan kesejahteraan ummah.
Prof Dr Ajmain Safar