Bila Cinta Kita Tidak Lagi Tulus Untuk Allah
(Inspirasi dari Surah At-Taubah ayat 24)
Memang pada akhir zaman ini, tidak semua orang mampu untuk keluar dari sistem sepenuhnya. Pasti akan tetap terlibat juga walaupun sedikit.
Cuma persoalan yang lebih utama ialah: sejauh mana usaha kita untuk cuba keluar, dan perjuangan kita dalam menegakkan kebenaran—itu yang lebih penting.
Kadang-kadang, kita fikir kita sudah mencintai Allah.
Tetapi bila disuruh memilih—antara Allah dan manusia,
antara sunnah dan sistem,
antara kebenaran dan keselesaan…
Kita mula ragu-ragu. Kita mula tawar hati.
Firman Allah dalam Surah At-Taubah ayat 24:
“Katakanlah: Jika bapa-bapamu, anak-anakmu, saudara-saudaramu, isteri-isterimu, kaum keluargamu, harta benda yang kamu usahakan, perniagaan yang kamu khuatiri kerugiannya, dan rumah-rumah yang kamu sukai ; lebih kamu cintai daripada Allah dan Rasul-Nya serta berjihad di jalan-Nya, maka tunggulah sampai Allah mendatangkan keputusan-Nya. Dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik.”
(Surah At-Taubah: 24)
Ayat ini tidak datang untuk menghukum.
Ayat ini datang untuk bertanya.
Apa yang paling kita sayangi?
Apa yang kita tidak sanggup lepaskan?
Apa yang kita sanggup pertahankan walaupun kita tahu ianya salah.
Hari ini…
Ada yang sanggup melindungi sistem yang rosak,
asalkan gaji berjalan, bisnes tidak terganggu, pangkat tidak jatuh.
Ada yang tahu program itu haram,
tetapi masih menggalakkan – dengan alasan “ikut SOP”.
Ada yang tahu naratif itu dusta,
tetapi memilih untuk diam – kerana tidak mahu digelar “anti kerajaan”
“Lebih kamu cintai daripada Allah dan Rasul…
Tanya hati perlahan-lahan…
Benarkah Allah dan Rasul berada di tempat teratas dalam cinta kita?
Atau sebenarnya… kita hanya letak Allah dalam doa,
tetapi bukan dalam tindakan?
Sabda Nabi SAW:
“Akan datang kepada manusia satu zaman di mana orang yang berpegang kepada agamanya seperti menggenggam bara api.”
(Hadis Sahih, Riwayat Tirmizi)
Sakit. Pedih. Tidak mudah.
Tetapi itulah tanda bahawa iman itu masih hidup.
Jika hati kita tidak lagi terasa pedih bila agama dihina,
bila sunnah diketepikan..
bila hukum Allah ditukar ganti…
Maka mungkin… cinta itu sudah pergi.
Dunia ini tidak layak untuk kita gadaikan iman.
Tidak layak untuk kita pertahankan sistem zalim atas nama ‘taat’.
Kalau benar kita sayang Allah dan Rasul, buktikan.
Bukan dengan kata, tetapi dengan keberanian untuk berkata benar.
Dengan keberanian untuk menolak sistem yang mungkar,
walaupun semua orang di sekeliling kita diam.
#CintaYangBenar
#AtTaubah24
#JihadDenganLidahDanHati
#TakTundukPadaTipuDaya
#SharingByNfam
#Awaken







