
Antara perkara yang amat sukar dilaksanakan ialah berjimat-cermat. Mudah disebut tapi memang sangat payah nak dibuat. Saya kongsikan 22 tip untuk berjimat cermat dan hidup tenang tanpa perlu risau tentang wang.
1. Macam biasa, pertama sekali ialah doa, bukan perkara terakhir yang akan disenaraikan. Mintalah setiap kali berdoa kepada Allah agar dapat menjadi seorang yang berjimat cermat dan menguruskan kewangan dengan berhemah.
2. Anda perlu tahu, untuk apa anda hendak berjimat? Adakah untuk menyimpan hasil penjimatan tersebut? Adakah agar dapat memberi kepada mereka yang lebih memerlukan? Adakah untuk membeli sesuatu atau untuk bisnes? Atau kesemuanya sekali? Oleh itu, pasang niat dan jelas dengan matlamat anda.
3. Mulakan dengan benda yang kecil dahulu. Dapat gaji, simpan dulu, baru belanja. Pastikan ada senarai perbelanjaan bulanan. Kalau boleh, perhatikan di mana anda boleh ‘cut cost‘ dan cuba sedikit demi sedikit. Rombak bajet dan buat semula bajet baru.
4. Setiap kali ingin membeli barang, pastikan bawa wang cukup-cukup sahaja. Jangan beli barang yang tidak disenaraikan. Kena kuat semangat bab ini. Keraskan hati dan yakin anda mampu mengubahnya.
5. Elakkan dari menghabiskan duit membeli pakaian yang mahal dan biarlah sederhana. Jaga pakaian dengan elok agar boleh dipakai lama.

6. Beli kasut yang boleh dipakai ke semua majlis. Contohnya saya sendiri membeli kasut yang boleh dipakai pergi bekerja dan jalan-jalaln. Sesuai untuk semua majlis. Kasut saya bertahan lebih kurang setahun lebih. Setiap kali teringin nak beli kasut baru, fikir begini – ‘kasut aku masih elok, beli kasut baru cuma membazirkan wang’.
7. Selama 10 tahun bekerja, saya baru memakai 3 buah beg tangan. Saya hanya mempunyai satu beg untuk digunakan pada satu-satu masa. Beg itulah yang dibawa ke tempat kerja mahupun ke mana-mana. Belilah beg yang sesuai digunakan ke mana sahaja. Jika dijaga dengan baik ianya tahan lama. Purata harga beg yang saya beli sekitar RM100+ sahaja, tapi boleh pakai lama.Purata satu beg bertahan ialah sekitar 3 tahun. Jimat kan?
8. Jika mempunyai anak, tak perlu beli banyak baju untuk setiap anak. Cukup 5 atau 7 pasang baju untuk dipakai pada waktu siang, dan 5 atau 7 baju untuk dipakai pada waktu malam. Boleh pakai selama seminggu dan ulang untuk minggu seterusnya. Anak-anak cepat membesar, rugi kalau membeli terlalu banyak baju, terutamanya kalau harganya mahal.
9. Saya suka beli baju yang berkualiti dengan harga sederhana untuk anak, oleh itu baju tersebut tidak akan kelihatan berbulu selepas dibasuh banyak kali dan tahan lasak.
10. Beli baju dan seluar yang besar 1 saiz dari saiz sebenar anak. Contoh anak umur 1 tahun, boleh beli baju untuk anak umur 18 bulan. Kalau anak pakai saiz 4, boleh beli yang saiz 5 atau 6. Tip ini saya gunakan untuk baju yang berjenama sedikit, biasanya anak saya boleh pakai baju tersebut selama setahun setengah sehingga 2 tahun.Sekiranya baju untuk pakai di rumah, beli pakaian dari material cotton yang berkualiti tinggi tapi murah yang banyak dijual sekarang.

11. Elakkan daripada menukar gajet banyak kali. Ianya cuma buang duit. Tak perlu ikut trend. Tak terkejar nanti. Asalkan ada sebuah untuk memenuhi keperluan sudah mencukupi. Tak perlu malu jika kelihatan ketinggalan zaman. Sebaliknya patut berbangga sebab berjaya kawal nafsu.
12. Kalau beli barang di pasaraya, beli yang bungkusan besar kerana lebih menjimatkan dan tahan lama. Contoh, ubat gigi kotak besar lebih murah berbanding yang saiz kecil jika dikira berdasarkan beratnya.
13. Rancang percutian. Saya selalu memilih percutian yang bajetnya bawah RM500 untuk sekeluarga, tetapi sejak anak dah bertambah, saya stand by lebih sikit tapi masih bawah RM1,000. Duduk di hotel bajet sahaja, sebab kita kan nak berjalan,bukan nak terperap di hotel.
14.Bagi mengelakkan anak bosan sebab ada ketikanya kami jarang bercuti, kami selalu buat ‘percutian ekspress’ ke lokasi yang tidak terlalu jauh dari rumah. Tapi ada juga yang jauh sedikit, tapi masih boleh pergi balik hari. Bajetnya dalam RM300 sahaja dan kadang-kadang tak sampai pun. Keluar selepas Subuh dan balik pada malamnya.
15. Jika terpaksa makan di luar, tempahlah menu yang boleh dimakan secara berkongsi satu keluarga.

16. Jagalah kesihatan dengan baik agar tidak mudah terkena penyakit. Bila asyik sakit, terpaksa keluarkan bajet untuk perubatan pula. Amalkan gaya hidup yang sihat. Tip yang saya boleh berikan ialah – banyakkan minum air masak, amalkan pemakanan sunnah seperti makan kurma, habatussauda, madu, delima, susu kambing dan lain-lain untuk hidup lebih sihat.
17.Jika perlu, boleh juga amalkan supplement vitamin kerana sumber makanan kita pada hari ini dah tak macam dulu. Banyak racun dan kualiti terjejas. Jadi tak salah ambil supplement tambahan jika mampu. Jika kurang mampu, banyakkan makan buah dan sayur-sayuran.
18. Oh ye, bercakap tentang makanan, ada satu lagi tip saya nak kongsikan. Selain menjimatkan,ianya mengikut sunnah nabi. Jangan makan ikan dengan daging. Maksudnya, kalau masak ikan dan makanan laut, jangan makan dengan daging atau ayam. Mengikut sunnah Rasulullah, ianya tak bagus untuk perut dan kesihatan kita. Jadi masaklah sama ada ayam/daging dengan sayur atau ikan/makanan laut dengan sayur dalam satu-satu masa. Ia juga mengajar kita hidup sederhana. Kalau nak masak dua-dua untuk memberi pilihan, boleh ajar ahli keluarga pilih satu untuk makan tengahari dan satu lagi untuk makan malam. Contohnya kalau masa tengahari makan nasi dengan ikan, malam makan nasi dengan daging pula. Jangan makan sekali.
19. Kurangkan beli air bergas dan air yang dicampur dengan gula, sebaliknya banyakkan minum air masak. Sekiranya air yang terus dari buah tidak mengapa,contohnya air buah yang dikisar, air kelapa,atau air tebu.
20. Tak perlu bertukar-tukar kereta. Cukuplah untuk membawa anda pergi ke mana-mana. Pakai kereta mahal dan murah tujuannya tetap sama-sampai ke destinasi juga. Kalau boleh, kumpul duit dan beli kereta terpakai yang lebih murah dan masih elok. Jika mampu sekalipun kereta mahal, alangkah baiknya jika wang itu disalurkan untuk membantu mereka yang lebih memerlukan?Ingat,dalam harta kita ada hak orang lain. Jangan terleka dengan tipu daya dunia.

21.Elakkan dari membuat pinjaman dengan bank tak kira apa tujuannya. Tiada pinjaman bank yang bebas dari riba. Jauhi riba dan anda akan dapati hidup anda lebih tenang. Jika mahu berbisnes,modal bukan alasan. Mulakan dari bisnes kecil dan berkembang sedikit demi sedikit.
22.Banyakkan memberi sedekah. Apa sahaja yang mampu untuk anda sedekahkan sama ada senyuman, doa, pandangan, ilmu mahupun harta benda. Jangan ada rasa sayang dengan harta dunia. Semuanya milik Allah SWT. Kita hanya memegang amanah dan bertanggungjawab untuk berkongsi nikmat yang diberi dengan orang lain. Tak perlu tunggu kaya untuk suka memberi. Berilah walaupun anda rasa anda susah. Sentiasa berusaha untuk sembunyikan pemberian anda dan latih diri untuk sentiasa ikhlas.
* Ini adalah tulisan berdasarkan pengalaman sendiri, mungkin perlu diubahsuai mengikut iklim kewangan dan cara hidup anda. 🙂