Buli Tidak Kenal Usia: Bila Orang Dewasa Pun Berperangai Seperti Budak Sekolah
Kadang-kadang bukan mahu menuding jari, tetapi realitinya memang pahit untuk diterima.
Kita selalu dengar kes buli melibatkan pelajar sekolah; rasa kasihan, “ish kenapa budak sekarang kurang ajar”.
Namun, jika diteliti betul-betul, orang dewasa pun ada yang berperangai sama. Boleh lihat di luar atau di media sosial.
1. Mulut Lebih Bisa Dari Budak Sekolah
Bezanya cuma uban yang lebih banyak, tetapi akal dan hati masih mentah. Ada yang mulutnya lebih pedas berbanding pelajar sekolah, tidak menjaga tutur kata dan sering melontarkan kata-kata yang menyakitkan hati orang lain.
2. Media Sosial Penuh Dengan Sikap Suka Menghina
Di media sosial, bersepah individu yang kononnya matang tetapi gemar mengutuk, memprovokasi, dan menghina orang lain. Lagi berusia, lagi kuat menyerang peribadi kerana mereka merasakan diri mereka kebal daripada teguran.
3. Pengalaman Peribadi Dengan “Admin Terpaling”
Saya sendiri baru terkena dengan seorang admin kumpulan Facebook yang kononnya pakar bab kencing manis, tetapi di platform lain… perangainya seperti budak baru lepas PMR. Saya sudah bertanya soalan kepadanya di sana, tetapi belum dijawab. Saya biarkan dahulu… mahu lihat bagaimana dia akan memberi respons.
4. Konon Ilmuan, Tetapi Tidak Boleh Dibincang
Paling kelakar, apabila ada yang kononnya orang sains atau ilmuan, tetapi apabila diajak berbincang dengan baik, terus melenting. Katanya percaya pada “fakta dan kajian”, tetapi apabila fakta itu tidak selari dengan pendapat peribadi, mereka terus bertukar menjadi ‘keyboard warrior’.
5. Contoh Buruk Kepada Generasi Muda
Masalahnya, generasi inilah yang anak-anak lihat sebagai contoh. Jika orang dewasa sendiri tidak pandai mengawal lidah, jangan terkejut jika budak-budak membesar menjadi kaki buli.
6. Diam Itu Emas, Tetapi…
Kadang-kadang, diam itu emas. Tetapi bagi sesetengah orang, emas itu sudah lama tergadai kerana mulut yang tidak tahu berhenti. Golongan ini layak digelar geng ‘keyboard’.





