PRO DAN KONTRA SISTEM PENDIDIKAN HARI INI.
Sekolah pondok dan tahfiz sebagai jalan keluar?
Tulisan ini agak panjang,nak faham perlu baca sampai habis.Boleh share dulu.
Ada permintaan minta saya tuliskan pro dan kontra sistem pendidikan sekarang.
Apa yang saya akan tulis ini adalah berdasarkan pengalaman saya yang tak seberapa dan apa yang saya nampak.Boleh jadi ada yang tak tepat dan ada yang tak betul.Saya hanya mahu tulis pandangan saya sahaja.Tak bersetuju pun tak apa.
Jika sesiapa masih ingat,dulu zaman persekolahan kita terasa indah.Kita masih ada masa untuk bermain.Dan saya hampir lupa yang saya pernah ada atau tidak kerja sekolah waktu sekolah rendah dulu.Rasanya tak ada dan kalau ada biasanya saya mampu siapkan di sekolah.Balik rumah main lagi.Indahnya masa tu.Saya anak Felda,jadi rutin harian ialah bermain segala macam permainan yang anak kita dah tak kenal sekarang macam congkak,ting ting,main kejar duduk,main tuju tin,masuk ladang main pasang khemah,main pondok-pondok,mandi sungai dan macam-macam lagi.
Tapi sekarang?Anak kita tak happy pergi sekolah.Tak happy tuan-tuan dan puan-puan.Anda nampak tak raut wajah mereka.Kalau happy pun tak lama.
Ada pendapat mengatakan tak boleh nak samakan zaman mereka dengan kita.Ye betul tu,saya setuju sebab saya pun ada belajar pasal ni.Gen Baby Boomers,Gen X,Gen Y,Gen Z dan anak-anak kita sekarang ni Gen yang belum diberikan nama lagi (Betulkan kalau saya silap)
Apa yang menghairankan saya,sikap Gen terbaru ni tak selari dengan silibus sistem pendidikan.
Semasa saya mula melangkahkan kaki ke bidang ini,murid pada masa itu masih belum advanced lagi perangai mereka.Saya pun jarang sangat dengar kes pelik-pelik.Kes pelik macam mana,nanti saya cerita.
Saya berikan contoh mudah.Murid yang awal-awal dulu,mereka boleh terima sifir dengan cara hafalan saja.Suruh hafal pun dah dapat sifir.Saya suka cara tu sebab saya dulu pun ingat sifir melalui cara hafalan.Tak perlu dah teknik-teknik bagai.Tapi dari satu masa ke satu masa,saya dapati murid dah tak mampu menghafal,perlukan teknik ,maka saya ajarkan mereka teknik sifir tanpa perlu menghafal.Itu pun ramai yang susah nak faham.
Sebelum saya terlupa tentang kes pelik tapi benar.Antaranya ialah darjah 1 dah pandai bercinta,darjah 3 dah ada kes murid lelaki sama lelaki buat benda tak senonoh dalam almari,darjah 5 saya sendiri tangkap budak perempuan yang tulis lucah pada kawan perempuannya,darjah 6 dah ada kes rogol siap rakam video lagi beramai-ramai.Maaf sebab saya memang tak sanggup anak saya belajar sebumbung dengan anak-anak bermasalah.Sebab saya tahu iman anak saya belum kuat dan saya sendiri bukanlah ibu yang baik yang dapat pantau mereka 24 jam.
Oh ye,sebelum tu saya nak beritahu yang saya tulis ni tentang murid kampung,mungkin ada beza dengan murid bandar yang lebih “pick up”.Tapi bila saya tanya cikgu bandar,pun ramai mengadu benda yang lebih kurang sama jugalah.
Nampak tak zaman murid ni berubah?Tapi silibus makin susah.Macam mana mereka nak terima?
Saya menyaksikan sendiri silibus yang makin susah dari tahun ke tahun.Ada ke patut benda yang belajar masa darjah 4 murid tahun 1 dah kena belajar?Lepas tu benda yang kita belajar masa sekolah menengah murid darjah 4-6 dah kena belajar?Apa ke halnya menyusahkan murid macam tu.
Tahap pick up murid semakin berkurangan,tapi silibus makin susah tak sesuai dengan tahap pemikiran mereka.Kalau dulu kita bagi sesuatu arahan,murid mudah faham.Tapi murid sekarang,arahan yang sama kita bagi,dia boleh buat tak tahu.Jenuhlah kita duk ulang benda sama,dan mereka tetap buat kesilapan yang sama.Maka cikgu harus sentiasa kreatif fikir pelbagai pendekatan untuk membuatkan murid faham.
Di sekolah,guru terpaksa kejar silibus.So ada tiga kategori guru yang saya boleh kelaskan:
1- kejar silibus dan murid yang lambat akan ketinggalan.Maybe guru akan buat kelas tambahan dan sebagainya (kalau dia rajin )
2- Tak ikut silibus,dia pastikan murid dia menguasai perkara asas (macam yang saya lalui dulu,dapat murid tahap 2 yang tambah,tolak,darab bahagi pun tak pandai,macam mana saya nak ajar ikut buku teks?Apa yang saya buat,saya beri pemulihan,itu pun sampai hujung tahun tak selesai! )
3 – Guru yang dalam dilema,sekejap ikut silibus sekejap ikut keperluan murid.Dia pening tak tahu nak ikut yang mana.
Apa yang saya perhatikan,murid yang mendapat perhatian dari ibubapa di rumah boleh lagi hadapi perkembangan silibus ni.Atau murid tu memang jenis otak cerdik,pick up,memang boleh.Tapi berapa sangat jenis yang macam ni?Tak sampai 20% pun.Habis yang lagi 80% tu macam mana?
Apa yang mereka akan dapat jika meneruskan persekolahan mereka dengan sistem sekarang ?
1- Mereka akan menguasai 3M dengan baik,insyaAllah.
2- Mereka akan dapat kemahiran bersosial.So kena terima ye sebab di sekolah ada berpuluh-puluh jenis perangai.Jadi kalau kat rumah dah ajar mereka adab,akhlak baik punya,jangan pelik balik dia bawa sekali perangai pelik-pelik.
3- Pengaruh persekitaran dan di sekolah.Jika sekolah tu memang bagus pentadbiran dan guru-gurunya memberi contoh yang baik + persekitaran sekolah yang kondusif + murid yang berdisiplin,insyaAllah murid tu akan ikut.Tapi bayangkan jika sebaliknya?Guru pun perangai tak betul,pentadbir tak main peranan,pengaruh rakan yang entah apa-apa.Apa yang nak dijangka pada anak kita?
Bayangkan apa yang anak kita lalui tu la yang menjadikan siapa mereka kemudian hari.Bayangkan kita letak anak kita yang sekeliling mereka adalah orang-orang yang ada masalah perilaku,kita nak mereka jadi apa?Jadi baik?Sedangkan persekitaran tak membantu anak jadi baik.
4- Kemahiran.Anak kita akan ada kemahiran.Tapi cuba kita ingat,apa kemahiran yang kita dapat dari sekolah yang ada sehingga kini?Selebihnya kita dapat bila.Itulah juga yang anak kita akan dapat. Tapi suasana dulu dengan sekarang tak sama.
5 – Anak kita berpeluang untuk sambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi.Nasihat saya kalau tuan puan nak anak mendapat pekerjaan yang baik,tak salah.Tapi sila pantau rapi mereka dari semua segi.Dari segi pembelajaran mereka,perkembangan mereka,siapa rakan mereka,siapa guru mereka dan aktiviti mereka.Bina hubungan baik dengan guru dan sering bertanya mereka perkembangan anak kita.Ada anak yang kat rumah lain kat sekolah lain.Jangan percaya anak 100% dan jangan percaya sekolah 100% juga.Nama pun manusia,tak lari dari kesilapan.
Habis kalau dah semua tak boleh,nak hantar ke mana?Apa pilihan yang ada.
Hantar je anak ke sekolah pondok atau tahfiz.Settle.
Semudah itu?Oh tidak.
Tolonglah jangan longgokkan anak bermasalah di sekolah pondok atau tahfiz.
Ustaz di tahfiz tak boleh buat magik ubah anak anda tu untuk terus jadi baik,percayalah.Kalau ada pun sikit sangat kes yang berubah selepas ke tahfiz/pondok.
Saya menjadi saksi ibubapa yang hantar anak bermasalah ke tahfiz,keadaan menjadi semakin buruk bila ustaz gagal mengawal murid tersebut dan ia memberi kesan pada pelajar yang lain pula.Kesudahannya mereka ini dibuang dari satu sekolah ke satu sekolah.
Pendidikan awal bermula dari rumah ye.Ibu dan bapa yang kena memainkan peranan ajar anak.Bukan orang luar.Ibubapa kena ajar anak 7 tahun yang pertama tu dengan kasih sayang.Ajar adab,akhlak,berkomunikasi dan kemahiran asas.Ajar anak solat dan mengaji.Bayangkan berapa banyak pahala dapat setiap kali solat mereka baca dan pandai sebab kita.Cakap memang senang.Saya sendiri akui anak -anak say pun bukannya perfect.Masih banyak kelemahan dan kekurangan yang diperbaiki.Yang penting kami tak pernah jemu mendidik mereka.8-14 tahun terapkan disiplin,kalau tak solat dah boleh pukul masa umur 10 tahun.15-21 jadikan macam kawan,biar dia rapat dengan kita,usah biarkan anak kita lebih rapat dengan orang lain sebab itu petanda yang tak bagus.
Jangan terkejut kalau saya kata anak saya seawal 8 tahun saya dah hantar ke tahfiz.Saya nak dia berada dalam persekitaran yang mementingkan solat dan agama.Anak orang lain saya tak tahu,tapi anak saya tak mampu nak belajar banyak sangat subjek yang ditambah dari semasa ke semasa dan saya nampak mereka stress siapkan kerja sekolah.Dalam 5 anak saya,seorang je jenis pick up,yang lain sederhana,seorang lagi baru 3 tahun tak boleh nak nilai lagi.Saya tak nak bebankan mereka yang sederhana ni dengan benda yang tak pasti.
Bukan kata belajar agama confirm berjaya.Tak jugak.Tapi saya nak pupuk persekitaran islamik yang tak mampu saya sediakan dalam skala yang lebih besar.Anak kita mesti nak keluar rumah mesti nak bergaul dengan kawan masa sekolah.Macam mana kita nak larang?Budak-budak kan.
Apa yang saya pesan,perangai yang baik ikut,yang tak baik jangan ikut,tapi terpengaruh juga.Bila dia bawak perangai pelik-pelik saya akan soal dapat dari mana.Jawapannya dari rakan sekolah juga.
Betulkan niat nak hantar anak ke tahfiz ni.Bukan sebab nak lepas beban kita je.Tapi kita nak anak kita ada agama.Bila dia ada agama,insyaallah setakat nak ambil SPM tu boleh sangat.Saya dah lihat sendiri pelajar sekolah tahfiz/agama yang tak sekolah kebangsaan tapi sekadar ambil SPM tapi dapat keputusan yang sangat baik.
Jadi jangan ingat sekolah tahfiz atau pondok tak ada masa depan.
Sisi gelap tahfiz yang anda perlu tahu.
Saya terpaksa tulis walaupun pahit.
1- Sebelum hantar anak ke tahfiz,semak dulu status sekolah tersebut dan latar belakang mudirnya,tenaga pengajar.Jangan hantar sebarangan sebab :
i – Ada tahfiz tangkap muat.buat ala kadar.Kerja menghafal je,benda lain tak belajar.Maaf,ini tak bagus.Anak kita perlukan lebih dari itu.Malah ada yang tak peduli pun anak anda solat betul ke tak (bukan semua).Jadi dah hantar ke tahfiz/pondok pun semak solat mereka dari A to Z.Silibus pun ada yang ulang benda yang sama sehingga pelajar bosan.
ii – Ada tahfiz yang keras dengan pelajar dan mereka dilarang cerita pada ibubapa atau orang luar.Kena simpan rahsia atau mereka didenda teruk.Kes pelajar /pendidik bermasalah disorok sebaik mungkin.
iii – Ada tahfiz yang tenaga pengajarnya hidup mewah hasil sumbangan orang ramai,untuk pelajar dibuat sambil lewa
iv- Ada tahfiz yang membawa ajaran sesat.Yang ni paling bahaya tapi dah mula banyak kat Malaysia.
2 – Kebanyakan pusat tahfiz /pondok sekarang tumbuh bagai cendawan dan banyak yang berkepentingan.Cuba fikir,kenapa mereka tak bergabung sahaja?Semua nak jadi mudir,jadi mudir = masyuk ? Bukan semua ye,sebahagian la.Susah kita nak bantu,dalam kawasan yang sama banyak yang dibuka.Yang tu perlukan sumbangan,yang ni perlukan sumbangan.Tahukah anda di Hulu Langat sahaja ada hampir 30 tahfiz/pondok ? Ada yang dhoif sangat.Janda Baik saja ada 4!
3- Pilihla yang dah terbukti melahirkan pelajar yang berjaya.Masa survey tu dapatkan maklumat ni semua.Lepas tu masa survey di sekolah tu sendiri,borak-borak dengan murid kat sana.Murid-murid tak pandai menipu.Borak lama sikit nanti macam-macam gambaran anda akan dapat.Tapi jangan tertipu,yang nampak baik belum tentu betul-betul baik,ada juga yang depan kita nampak baik sangat.Di belakang kita diala yang buli anak kita nanti.
So kesimpulannya,sistem pendidikan Malaysia memang caca marba.Orang atasan tidak mendengar suara guru.Kalau dengar pun tindakan tidak ada dan tidak menyeluruh.Yang buat dasar entah siapa-siapa.Dialog dengan akar umbi pun tak ada.Kalau ada pun suara guru tak didengari.Mereka lebih suka dengar dari orang yang buat kertas kerja tapi dia sendiri bukan kerja hadap murid.At least buatlah kertas kerja hasil dari pandangan dari guru juga.Guru dipaksa mengikut sistem yang sentiasa berubah dan sentiasa menjadi mangsa keadaan.Kepuasan mengajar mereka hampir tiada.Tetapi mereka terpaksa meneruskan kerjaya kerana tiada pilihan dan masih ramai juga yang kekal kerana mencari keberkatan hidup.
Dan kesimpulan kedua,betulkan niat hantar anak ke tahfiz dan usah jadikan tahfiz /pondok sebagai pilihan terakhir.Ia sebagai pilihan alternatif tapi tak semestinya yang terbaik kerana jika tak kena cara anda juga boleh tersalah langkah.
Banyak lagi saya belum cerita sebenarnya,nanti tak larat orang baca.
Disclaimer : Penulisan ini adalah tidak ditujukan kepada sesiapa sebaliknya pandangan saya secara umum dan sumber-sumber juga tidak akan didedahkan melainkan kepada pihak yang berkenaan sahaja jika mereka ikhlas ingin mengubah sistem dan menambahbaik.
Nor Fazilah Abd Mohd ,
bekas guru 2005-2017